VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 02/09/2013

Operasi besar-besaran bermula

PEGAWAI Imigresen memeriksa PATI yang ditahan di tapak pembinaan di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

PUTRAJAYA 1 Sept. - Lebih 1,000 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi menggempur PATI dikenali Ops 6P Bersepadu yang dilancarkan kerajaan di seluruh negara secara besar-besaran bermula tengah malam tadi.

Ops 6P Bersepadu yang akan dijalankan menerusi beberapa fasa sehingga 31 Disember ini adalah bagi memburu 400,000 PATI selain 45,000 majikan yang masih berdegil menggaji golongan itu.

Di PUTRAJAYA, seramai 71 PATI ditahan di dua lokasi serbuan iaitu di Bukit Raja, Klang dan Kota Serimas, Putrajaya dalam fasa satu operasi tersebut bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga pukul 6 pagi.

Operasi itu disertai seramai 150 anggota melibatkan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, K. Saravanan berkata, kesemua PATI yang ditahan itu adalah daripada 160 orang yang diperiksa dan merupakan warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

"Hasil pemeriksaan, mereka didapati tiada dokumen pengenalan diri, disyaki menggunakan pas lawatan palsu dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

"Kita dapati masih ada majikan ingkar arahan dengan menggaji PATI, justeru operasi ini adalah amaran keras buat mereka untuk berhenti berbuat demikian sebelum ditangkap," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.

Menurut Saravanan, Ops 6P Bersepadu yang melibatkan 135,000 anggota pelbagai agensi di seluruh negara itu merupakan permulaan untuk mengesan saki baki PATI yang gagal menjalani proses pemutihan yang dijalankan kerajaan sebelum ini.

Pada 23 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melakukan operasi bersepadu besar-besaran untuk menangkap PATI yang bekerja tanpa permit di seluruh negara bermula 1 September.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi melibatkan Imigresen, polis serta agensi lain di bawah kementerian itu akan memberi tumpuan kepada kawasan perladangan, kilang, perniagaan dan tapak pembinaan.

Di SEREMBAN, seramai 621 PATI warga Bangladesh, Indonesia, Vietnam dan Pakistan, berusia antara enam hingga 60 tahun ditahan dalam operasi serentak di lapan buah daerah di negeri ini bermula pagi ini sehingga petang ini.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi tumpuan seperti stesen bas, komuter, pusat beli-belah, rumah kedai dan tapak pembinaan.

Di KAMPAR, seramai 12 PATI warga Indonesia, Pakistan dan Bangladesh termasuk seorang wanita ditahan hasil pemeriksaan 114 orang dalam operasi di rumah kongsi di Bandar Baru Kampar dekat sini awal pagi ini.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Perak, Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata, daripada yang ditahan, 10 orang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan manakala bakinya tinggal lebih masa dan memalsukan pas lawatan kerja sementara.

Di MELAKA, seramai 414 PATI ditahan daripada 925 warga asing yang diperiksa oleh Imigresen negeri dalam operasi di sebuah pangsapuri di Bachang dan sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, daripada tangkapan itu, seramai 203 orang ialah warganegara Indonesia, Myanmar (100), Nepal (63), Bangladesh (21), China (11), India (10), Vietnam (6) dan tempatan (1).

Di JOHOR BAHRU, Imigresen Johor menahan seramai 127 PATI warga Kemboja, Vietnam, Indonesia dan Myanmar dalam dua operasi serentak di Ulu Tiram di sini dan Muar awal pagi ini.

Penolong Pengarah Imigresen Johor, Masri Adul berkata, mereka yang ditahan dalam operasi bermula pukul 1 pagi itu terdiri daripada 65 lelaki, wanita (40), kanak-kanak lelaki (10) dan kanak-kanak perempuan (13).

Di KUANTAN, Jabatan Imigresen Pahang menahan seramai 49 PATI daripada 139 warga asing yang diperiksa dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Gambang di sini awal pagi ini.

Ketua operasinya, Razali Ahmad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 31 warga Bangladesh, Myanmar (12) dan Indonesia (3) kerana tidak mempunyai dokumen sah, melanggar syarat permit dan memiliki dokumen palsu.

Di KUCHING, Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 90 PATI dalam serbuan di beberapa lokasi seperti ladang, rumah urut dan pasar di sekitar bandar ini dalam operasi bermula tengah malam tadi.

Pengarahnya, Datuk Robert Lian berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 69 warga Indonesia, Bangladesh (10), India (8) dan masing-masing seorang Myanmar, Vietnam serta Pakistan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.