VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 23/11/2003

Aidilfitri bersama Siti Nurhaliza

KETIKA anda membaca artikel ini, artis terkenal tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin sudah berada di tanah suci Mekah untuk mengerjakan umrah bersama-sama ibu, abang dan kakak iparnya.

Siti Nurhaliza mengambil keberkatan Ramadan untuk mendekatkan dirinya dengan Yang Maha Esa selain merebut kesempatan untuk menyambut lebaran di sana.

Tidak seperti enam tahun sebelum ini, lebaran lazimnya diraikan oleh Siti Nurhaliza dengan penuh kemeriahan bersama-sama kaum keluarga dan peminat-peminatnya yang tidak putus-putus akan berkunjung ke kediaman keluarganya di Kuala Lipis, Pahang.

Sebaliknya, Syawal kali ini, sudah pasti ramai peminat yang akan kecewa kerana Siti Nurhaliza tidak dapat memenuhi hajat dan impian mereka.

Bagaimanapun, sebagai mengubat kerinduan peminat yang bakal tercari-cari wajahnya di kaca televisyen sempena Hari Raya, RTM menerbitkan program khas Hiburan Minggu Ini (HMI) Aidilfitri Bersama Siti Nurhaliza.

Program yang diterbitkan oleh Shamsuriah Shahrul Anuar itu memberi kesempatan kepada Siti Nurhaliza untuk berkongsi penghayatan Aidilfitri dengan peminat.

Berlandaskan kepada pendekatan hiburan muzikal, HMI Aidilfitri Bersama Siti Nurhaliza turut dijadikan platform oleh penghibur berusia 25 tahun itu untuk menyatakan kesyukurannya kerana menetap di bumi bertuah Malaysia.

Mesej keamanan serta kasih sayang menjadi tema Siti Nurhaliza sepanjang menjayakan rakaman program berkenaan yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri minggu lalu.

``Keamanan yang kita peroleh di sini sewajarnya dinikmati dengan penuh kesyukuran.

``Keadaan di negara kita begitu berbeza dengan rakan-rakan dan saudara-mara kita di bumi yang tidak henti-henti menjadi mangsa kekejaman.

``Justeru, Siti berpendapat sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menanam nilai kasih sayang supaya menebal dalam diri kita untuk mempertahankan negara,'' ujar Siti Nurhaliza dalam satu temu bual dengan Pancaindera selepas rakaman program berkenaan.

HMI Aidilfitri Bersama Siti Nurhaliza akan ditayangkan di saluran perdana, TV1 selama satu jam setengah pada 29 November bermula pukul 9 malam.

HMI Aidilfitri Bersama Siti Nurhaliza merupakan satu-satunya program hiburan terbitan RTM yang mengutarakan lagu-lagu bertemakan lebaran sepenuhnya.

Program itu juga memberikan makna yang cukup besar buat Siti Nurhaliza kerana penyanyi itu diberi kepercayaan oleh RTM untuk memilih teman artis lain sebagai tetamu undangan.

Kepercayaan yang diberikan oleh RTM digunakan sebaik mungkin oleh Siti Nurhaliza dengan mengundang seniman tersohor, M. Nasir.

Mereka berdua berduet menyampaikan lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan M. Nasir.

``Walaupun ini bukan kali pertama Siti berduet dengan M. Nasir, namun pengalamannya berbeza, apatah lagi menyanyikan lagu evergreen beliau,'' jelas Siti menceritakan kerjasama dengan komposer yang cukup berpengaruh.

M. Nasir juga diberi peluang oleh RTM untuk menyampaikan lagu solo beliau, Salam Dunia.

Seorang lagi penghibur wanita disegani ramai, Aishah turut diundang oleh Siti Nurhaliza sebagai memeriahkan lagi program itu.

``Perjalanan awal Siti ke bidang seni suara banyak dipengaruhi oleh kejayaan Aishah dan mengundang beliau menyanyi bersama Siti adalah sebagai menyatakan tanda terima kasih dan penghargaan buat Aishah,'' kata Siti Nurhaliza mengenai pemilihan Aishah sebagai artis undangan.

Siti Nurhaliza dan Aishah turut mendendangkan lagu Hari Raya Hari Bahagia secara duet selain Aishah memilih menyampaikan lagu raya Pulanglah secara solo.

Kemeriahan HMI Aidilfitri Bersama Siti Nurhaliza juga turut dikongsi bersama dengan bakat-bakat dari Akademi Fantasia.

Empat penyanyi pelapis dari Akademi Fantasia iaitu Vince, Khai, Burn dan Rosma diberi kesempatan oleh Siti Nurhaliza untuk muncul dalam program khas itu.

``Siti melihat kejayaan mereka menerusi program Akademi Fantasia mencetuskan suasana baru dalam dunia hiburan dan kerana itu Siti mahu berkongsi saat-saat manis dengan mereka,'' jelas Siti.

Bersama bakat-bakat baru ini, Siti menyampaikan lagu-lagu raya secara medley.

Sementara itu, Siti Nurhaliza juga tidak menghampakan peminat-peminatnya dengan menyampaikan lagu-lagu raya popularnya seperti Nazam Lebaran, Anugerah Aidilfitri, Sesuci Lebaran, Meriah Hari Raya, Air Mata Syawal, Pulang Di Hari Raya dan lain-lain. Kemeriahan program berkenaan seiring dengan sambutan Hari Raya dapat dirasakan oleh penonton yang turut bersesak di Auditorium Perdana.

Ini kerana para penonton turut ditetapkan oleh pihak penerbit RTM supaya mengenakan pakaian yang bertemakan Hari Raya.

``Siti gembira kerana berjaya merealisasikan hasrat RTM dan memberi hadiah yang istimewa buat peminat sempena dengan sambutan Aidilfitri,'' kata Siti Nurhaliza lagi.

Siti Nurhaliza turut meminta Pancaindera menyampaikan salam Aidilfitri beliau buat seluruh peminat-peminatnya walau di mana juga mereka berada.

``Sambutlah Aidilfitri dengan kesederhanaan,'' katanya mengakhiri ucapan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.